Imam al Syafie

Al Syaf’ie adalah di antara nama agung dalam Islam. Beliau adalah seorang daripada empat Imam mazhab yang diperakui oleh ummat Islam seluruh dunia. Beliau diiktiraf sebagai "Mujaddid Kurun ke-Dua". Keilmuan beliau amat disegani oleh para ulama’, umara (pemimpim), ahli politik, intelektual Islam dan bukan Islam/orientalis dan juga orang awam.

Nama penuh Imam al Syafi’e adalah Abu Abdullah Muhammad bin Idris bin al Abbas bin Uthman bin Syafie bin al Saib bin Ubaid bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutthalib  bin Abdul Manaf bin Qusay al Quraisyi al Mutthalibi al-Syafie. [ ada beberapa pendapat berkenaan salasilah ini, sila KLIK ]
Gelaran al Syafie disandarkan kepada datuk beliau yang ke-empat iaitu, Syaf’ie bin al Saib. Syafi’e di zaman Rasulullah adalah daripada kalangan sahabat muda.

Ibu beliau ialah Fatimah binti Ubaidullah(*) bin Hassan bin Hussin bin Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah. Baeliau berasal dari kabilah Azdi yang dikenali dengan panggilan Ummu Habibah al Azdiah.
(*)Imam al Subki dalam kitabnya Tabaqaat  al Syafi’eiah al Kubra menyatakan nama ibu al Syafi’e adalah Fatimah binti Abdullah bin Hussain bin Ali Karramallahu Wajhah.

Sejarah Permulaan
Imam al Syafi'e atau Abu Abdullah Muhammad bin Idris dilahirkan pada bulan Rejab, tahun 150 Hijrah. Beliau dilahirkan ketika zaman pemerintahan Bani Abbasiah.  Pada waktu itu Abu Jaafar Al Mansur memerintah sebagai khalifah yang kedua.  Ada sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa kelahiran Imam al Syafi'e bersamaan dengan tahun kewafatan Imam Abu Hanifah.   Malahan Imam al Nawawi berpendapat bahawa Imam al Syafi'e dilahirkan pada hari kewafatan Imam Abu Hanifah.  

Kota kelahiran Imam al Syafi'e ialah Kota Ghaza, di dalam daerah Asqalan, Palestin. Tempat-tempat tersebut terletak lebih kurang 80 kilometer (sekitar tiga farsakh)  dari Baitul Maqdis.   


       

Mengikut sesetengah pendapat, mengatakan bahawa Imam al Syafie dilahirkan dalam keadaan keluarganya miskin. Ayahanda Imam al Syafie, iaitu Idris bin al Abbas meninggal setelah dua tahun kelahirannya. Selepas itu, ibunya membawa Imam al Syafie berhijrah ke Makkah. Beliau dibesarkan oleh ibunya di sana dalam keadaan yatim dan serba kekurangan.




Ibu Imam al Syafie seorang insan yang berhati mulia dan bijaksana. Peranan beliau dalam membentuk peribadi Imam Syafie amat besar sekali. Beliau memberi tunjuk ajar, nasihat, bimbingan dan panduan serta contoh teladan kepada Imam al Syafie. Tindakan beliau membawa Imam al Syafie ke Makkah sebagai satu tindakan yang amat bijaksana demi memberi pendidikan agama Islam yang secukupnya kepada anaknya itu.

Diriwayatkan bahawa ketika sedang mengandung, Fatimah binti Ubaidillah telah bermimpi telah melihat bintang Kejora (Musytari) keluar dari rahimnya terbang ke angkasa raya. Setelah itu, bintang itu jatuh ke bumi Mesir. Lantaran itu,seluruh mukabumi menjadi terang benderang oleh pancaran dan percikan cahaya yang menyerlah dari bumi Mesir. 

Fatimah berasa hairan dengan mimpinya, lalu dia menceritakannya kepada seorang alim di kampungnya. Tadbiran mimpinya menyatakan bahawa anak dalam kandungannya bakal menjadi orang berilmu dan memberi manfaat ke pelusuk dunia.

Keperihatinan Fatimah binti Ubaidillah itu dipertegaskan sendiri oleh Imam al Syafie, dengan katanya;


"Ibuku merasa bimbang terhadap masa depan hidupku, lalu ia mengingatkan daku dengan katanya, "Berhijrahlah ke tempat asal datuk nenekmu supaya kamu akan jadi mulia dan terbilang seperti mereka kerana sesungguhnya aku takut kalau-kalau keturunanmu dikhianati."